Thursday, June 26, 2008

Kerjasama dengan Umno boleh timbulkan masalah � Nik Aziz

Salmah Mat Husain
Wed | Jun 25, 08 | 7:41:04 pm MYT

KOTA BHARU, 25 Jun (Hrkh) � Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan parti itu akan menghadapi masalah apabila meneruskan cadangan berunding dengan Umno.

�Mengadakan pakatan PAS dan Umno sebagaimana sebelum ini akan berlaku seperti di Kelantan pada tahun 1970-an di mana wujudnya Berjasa dan Bebas pada waktu itu.

�Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan Umno, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.

�Oleh yang demikian saya ulangi dan tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan parti itu,� katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Jawatankuasa PAS Pusat malam ini dikatakan akan mengadakan mesyuarat tergempar membincang beberapa perkara termasuk cadangan mengadakan hubungan dengan Umno.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersama beberapa pemimpin lain bergegas ke Kuala Lumpur petang tadi bagi menghadiri mesyuarat tersebut.

Menurutnya mesyuarat itu akan membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno.

�Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu,� ujarnya.

Sedangkan kata beliau tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak.

Tambah beliau rakyat Kelantan di luar negara juga turut menyatakan sokongan terhadap PAS kerana mereka yakin terhadap perjuangan parti itu.

Bagaimanapun katanya, pertemuan individu di antara pemimpin PAS dan Umno tidak akan dihalang dan ia terbuka bila-bila masa.

�Penyertaan ahli Umno bersama PAS sebenarnya bukan melompat parti sebaliknya kembali pada ajaran Islam sebenar,� katanya. - mj _

Wednesday, June 25, 2008

Kami keluar PAS jika sertai BN!

Abu Nasrullah | Jun 24, 08 3:21pm

Khabar tentang perundingan sulit antara pimpinan Umno dengan pimpinan PAS tertentu (bukan pimpinan utama) yang sedang dijalankan membuatkan saya merasa terpanggil untuk memberi komentar.

Terlebih dahulu ingin dijelaskan di sini bahawa saya menulis atas kapasiti sebagai seorang ahli PAS seumur hidup yang menyertai parti ini sejak 1993. Ketika ini, saya memegang jawatan di peringkat kawasan.

Saya mendapat tahu daripada seorang pimimpin PAS di peringkat pusat - yang mahu identitinya dirahsiakan - bahawa sekarang beberapa pimpinan PAS antaranya bekas naib presiden Mustapha Ali (pesuruhjaya PAS Terengganu dan pengarah pilihanraya), Dr Haron Taib (bekas ketua Dewan Ulama, kalah dalam pertandingan jawatan timbalan presiden) dan Dr Haron Din (timbalan mursyidul am) sedang berunding dengan pimpinan Umno daripada kumpulan Najib Razak supaya PAS menyertai gabungan Barisan Nasional.

Hujah yang dikemukakan untuk mengabsahkan penggabungan ini: demi ketuanan Melayu.

Saya tidak nampak tentang apa yang dikatakan ketuanan Melayu tercabar selepas pilihanraya Mac. Bagi saya, ia hanyalah perang saraf yang dimainkan secara halus oleh Umno untuk meraih keuntungan politik. Dari segi jumlah ahli parlimen Melayu pun, jumlahnya bertambah berbanding penggal 2004.

Justeru, di manakah relevannya isu ketuanan Melayu di sini?

Saya berasa khuatir kalau-kalau pimpinan PAS akan terpengaruh dengan hujah terbabit dan saya terfikir kenapa selepas pilihanraya barulah hujah berkenaan timbul, sedangkan sebelum pilihanraya ketuanan Melayu tidak pernah ditimbulkan terutamanya dalam siri kempen pilihanraya.

Yang kedengaran hanyalah "ketuanan menantu"!

PAS berkempen dengan slogan "PAS untuk semua" yang mendatangkan hasil sehinggakan buat pertama kalinya calon parti berjaya meraih undi yang banyak daripada pengundi bukan Melayu. Dr Siti Mariah Mahmud, Dr Lo' Lo' Ghazali dan Dr Dzulkifli Ahmad serta beberapa orang calon parti lagi tentunya terkejut bagaimana mereka boleh mencapai kemenangan dengan majoriti yang besar di kawasan campuran.

Adakah pimpinan PAS mahu belot kepada pengundi bukan Melayu dengan menyertai BN atas nama Melayu? Bagaimanakah pula dengan nasib Kelab Penyokong PAS yang tumbuh mencambah selepas pilihanraya apabila PAS menyertai BN?

PAS juga akan mengkhianati majoriti pengundinya yang memilih PAS bukan kerana sukakan parti tetapi sebaliknya bencikan BN yang semakin menyusahkan rakyat. Mereka mengundi sebarang parti selain BN tempoh hari kerana bencikan BN.

Saya tidak setuju sama sekali hujah akhdzu bi ahaffu al-dharurain (memilih yang lebih ringan antara dua mudarat) yang akan digunakan oleh pimpinan untuk menghalalkan perkahwinan PAS dengan Umno.

Jika kita lihat, selama ini Umnolah yang bermati-matian menolak pelaksanaan Islam dalam negara, adakah dengan hanya janji manis Najib untuk memberi laluan kepada PAS melaksanakan Islam membuatkan kepimpinan PAS terpesona untuk berpeluk dengan orang yang rasuah dan dikaitkan dengan kes Altantuya Shaariibuu?

Adakah pimpinan PAS sudah lupa bagaimana dahulunya - kalau tidak silap saya pada 1977 - PAS boleh ditendang keluar daripada BN seperti anjing kurap?

Menoleh sedikit lagi ke belakang, PAS dipujuk menyertai kerajaan campuran dan seterusnya BN setelah Umno berada dalam keadaan lemah akibat kemenangan tipis pada tahun 1969 dan ia sama seperti sekarang ketika Umno (baca: Najib) berada dalam keadaan mengalami kekalahan teruk dan perpecahan dalaman yang teruk.

Ertinya PAS akan cuba diperkudakan oleh Umno sekali lagi pada tahun ini ketika ia berada dalam keadaan yang lemah sama seperti tahun 1970. Apabila Umno kembali kuat, PAS akan sekali lagi ditendang keluar daripada BN.

Adakah pimpinan PAS tidak mahu merenung kepada hadis Nabi yang menyatakan tentang golongan beriman tidak akan dipatuk ular sebanyak dua kali dalam lubang yang sama?

Jika mahu dibuat perbandingan menggunakan hujah akhdzu bi ahaffu al-dharurain, saya secara peribadi lebih percayakan Anwar akan mampu memartabatkan Islam apabila menjadi perdana menteri berbanding dengan Abdullah Ahmad Badawi. Najib dalam hal ini jauh sekali!

Saya lebih cenderung kepada strategi menguasai kerajaan pusat terlebih dahulu, barulah kita mempunyai ruang yang besar untuk melaksanakan Islam. Dengan penguasaan media arus perdana, rakyat akan lebih mudah diperjelaskan tentang kebaikan pelaksanaan sistem Islam yang syumul sebelum ia dapat dilaksanakan.

Bagi saya, Najib, seorang suruhan yang setia kepada Dr Mahathir Mohamad amat bimbang dengan penghijrahan ahli parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat kerana ia akan membawa kepada pendakwaan dijalankan ke atas mereka atas perlakuan rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini.

PAS cuma akan berperanan sebagai punching bag kepada Najib dan Mahathir untuk menggagalkan rancangan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan Pusat. Tindakan PAS itu juga hanya akan mengakibatkan rakyat terus tertekan bawah BN.

Saya menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk menguasai Putrajaya melalui Pakatan Rakyat demi memperbetulkan segala kepincangan dalam dasar pemerintahan BN sekarang yang semakin menindas rakyat dan merugikan negara akibat gejala rasuah yang berleluasa.

Dianggarkan bahawa Malaysia telah mengalami kerugian beratus-ratus bilion ringgit akibat daripada bahana rasuah.

Akhirnya saya sekadar ingin memberi amaran dan peringatan keras kepada pimpinan PAS bahawa sekiranya mereka merealisasikan penggabungan PAS dengan Umno dalam BN, mereka akan menyaksikan ahli PAS akan keluar parti secara en bloc!

Bahkan terdapat ahli parlimen PAS sendiri dan pimpinan pusat PAS yang akan turut serta keluar daripada parti. Sebuah parti baru seumpama Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia atau Parti Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP) akan menjadi wadah baru mereka.

Yang kekal tinggal di dalam PAS hanyalah golongan "garis keras" yang selama ini terlalu mementingkan retorik Islam untuk membentuk persepsi umum bahawa mereka memperjuangkan Islam daripada mengolah substance Islam secara strategik.

Mereka ini boleh disamakan dengan Ezam Mohd Noor untuk merosakkan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat tempat di hati majoriti rakyat semata-mata untuk melunaskan 'dendam peribadi' mereka terhadap pihak tertentu dalam Pakatan selama ini.