Monday, September 15, 2008

Hasrat Pakatan mahu temui PM, antara taktik dan strategi Anwar

15-09-2008 01:15:29 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB (Dikemas kini) PETALING JAYA: Pemerhati dan penganalisis politik percaya bahawa hasrat Pakatan Rakyat untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secepat mungkin berkemungkinan besar untuk membincangkan tentang pembentukan kerajaan baru Pakatan Rakyat.

Pensyarah Sains Politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan telah mendapat jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mencukupi untuk menyertainya dan ingin memberitahu hasratnya untuk membentuk kerajaan kepada Abdullah.

“Beliau mungkin sudah ada jumlah Ahli Parlimen yang cukup untuk menyeberang tetapi beliau tidak akan dapat membentuk kerajaan kerana usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri hanya boleh dibuat ketika Parlimen bersidang pada 13 Oktober depan.

“Sehingga tempoh itu, beliau mungkin meminta supaya tidak timbul sebarang kekacauan atau gangguan daripada BN dan meminta BN supaya menerimanya secara terbuka dan baik,” katanya.

Beliau berkata, Anwar tidak akan sewenang-wenangnya berjumpa Abdullah tanpa alasan yang kuat.

Sabtu lalu, Pakatan Rakyat mengambil keputusan mengadakan pertemuan dengan Abdullah secepat mungkin bagi menyampaikan kebimbangannya terhadap apa yang mereka takrifkan sebagai penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Menurut Ketua Pembangkan yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat juga menggesa agar Perdana Menteri membebaskan semua mereka yang ditahan di bawah akta itu semalam.

Hasrat itu dilahirkan empat hari berakhirnya tarikh sasaran 16 September Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan yang baru.

Sementara itu, Presiden pertubuhan JUST, Prof. Dr. Chandra Muzaffar turut bersetuju yang tujuan perjumpaan itu berhubung isu pembentukan kerajaan baru tetapi lebih menjurus kepada kegagalan rancangan mereka.

“Jika (Datuk Seri) Anwar mahu bertemu Perdana Menteri berkemungkinan kerana kegagalan mereka mendapat jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk melompat parti.

“Ini adalah satu lagi taktik Anwar untuk mengalih pandangan tentang kegagalan rancangan pembentukan kerajaannya pada 16 September ini tetapi beliau tetap mahu membuktikan yang beliau seorang negarawan dengan alasan mahu membincangkan masa depan politik dan soal keselamatan negara,” katanya.

Katanya, Anwar mendakwa mahu membincangkan masa depan politik sedangkan beliaulah yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik negara pada masa ini.

Chandra turut mengulas berhubung perhimpunan Hari Malaysia hari ini yang disifatkan beliau sebagai satu lagi taktik Anwar untuk mengambil hati masyarakat di Sabah dan Sarawak selain ingin menjelaskan kepada rakyat berhubung kegagalan merealisasikan pembentukan kerajaannya pada 16 September ini yang terpaksa dipinda atas beberapa sebab tertentu.

“Beliau mahu jelaskan mengapa beliau mengubah perancangannya untuk bentuk kerajaan daripada 16 September kepada tarikh lain. Itu memang cara Anwar yang penuh dengan agenda terselindung,” katanya

Bagaimanapun katanya, tidak salah sekiranya kerajaan memberi cuti umum sempena tarikh 16 September tetapi hanya kepada Sabah dan Sarawak memandangkan tarikh itu begitu bermakna kedua-dua negeri itu.

Sementara itu, pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr Ghazali Mahyudin beliau turut berpendapat Pakatan Rakyat ingin memberitahu Abdullah bahawa mereka sudah mempunyai Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baru memandangkan kepada keyakinan parti itu yang begitu tinggi melalui kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin-pemimpin mereka sebelum ini.

“Pak Lah menghadapi tekanan yang cukup kuat dalam seminggu dua ini berikutan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan (Datuk Seri) Najib Tun Razak berhubung peralihan kuasa.

“Jika benar ia (pertemuan Abdullah dan Anwar) berlaku, tekanan yang dihadapi Pak Lah akan lebih kuat minggu ini berbanding minggu lalu,” katanya.


-Komen blogger

"cuma chandra muzafar sahaja yang berlainan nada.."

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home