Wednesday, June 4, 2008

Anwar: Dari Umno ia datang kepada Umno di kembali…

Oleh HermanSamsudeen

Pengarah Institut Pengajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam sesi dialog selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Pembangunan Negara Bangsa dan Negara Etnik di Malaysia pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik Ke-22 semalam berkata bahawa “Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat permohonan menyertai semula UMNO berikutan parti itu adalah satu-satunya wadah bagi membolehkan beliau mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri“.

Bagi beliau, kemasukkan Ezam ke dalam Umno minggu lepas adalah umpama ‘landasan kereta api’ bagi membuka laluan untuk Anwar itu kembali kepada UMNO. Beliau juga mendakwa bahawa Anwar tidak pernah membuat permohonan menjadi ahli PKR walaupun beliau adalah Penasihat parti itu.

Katanya, Anwar juga akan memilih UMNO kerana merasakan bahawa beliau hanya akan menjadi Perdana Menteri selama ‘25 minit’ sekiranya dapat memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti menyertai pakatan pembangkang.

”Perkara ini boleh berlaku kerana pakatan terbabit sebenarnya tidak kukuh dan terdapat kemungkinan Pas akan keluar dan bergerak bersendirian.”

Begitulah antara hujah-hujah beliau bagi ramalan politik Anwar di masa akan datang.

Isu ini sebenarnya telah kedengaran sebelum pilihanraya lagi di mana hubungan Anwar dan Abdullah tidaklah setegang hubungannya dengan Mahathir. Dan Abdullah juga adalah sebahagian dari pemimpin Umno yang pernah menyokong Semangat 46 yang menentang Umno baru versi Mahathir.

Dari cerita Ezam ketika beliau dalam usaha membebaskan Anwar, terdapat juga sedikit keistimewaan dan kelonggaran yang diberikan Abdullah untuk beliau. Hinggalah dibebaskan pada 2004.

Momentum kebangkitan Anwar yang sebenarnya hanyalah terasa selepas Perhimpunan Bersih pada 10 November 2007. Dan Anwar dilihat lebih banyak ke luar negara sebelum itu dan kini selepas pilihanraya juga beliau banyak berada diluar negara kerana menjadi penasihat dan Fellow kepada beberapa Institusi.

Teori Anwar akan kembali pada Umno akan mulai kedengaran lagi dan rakyat melihat bahawa reputasi Anwar kini begitu tinggi. Maka, seandainya Anwar kembali kepada Umno maka pastilah akan berlaku satu lagi gelombang kebangkitan rakyat, di mana PAS dan DAP perlu bijak menyusun atur gerak langkahnya.

Tidak dinafikan juga bahawa dalam KeADILan terdapat begitu banyak pemikir dan pimpinan yang mempunyai visi masing-masing. Jika KeADILan itu wujud atas faktor Anwar sahaja maka kemungkin parti itu akan terbubar dengan sendirinya jika Anwar masuk Umno dan ahli yang tidak setuju mungkin akan meneruskan perjuangan di dalam PAS dan DAP atau parti sosialis.

Jika KeADILan mampu berdiri tanpa Anwar maka, ianya pasti akan terus mara. Cuma, kita semua harus akui bahawa kejayaan besar KeADILan hari ini adalah atas dasar kepercayaan rakyat pada Anwar yang kembali aktif berpolitik. Jika dilihat prestasi KeADILan pada dua pilihanraya lalu, ia adalah komponen terkecil dalam barisan pembangkang, dan tsunami politik yang dibawa oleh penyertaan semula Anwar dalam politik membuka ruang untuk rakyat menerima KeADILan.

Seandainya Anwar masuk Umno, ramai akan mempersoalkan kemampuan PAS dan DAP untuk meneruskan perjuangan. Semua orang sudah tahu bahawa Anwar kini hanya menunggu masa dan peluang untuk jadi Perdana Menteri. Beliau juga sudah bersedia sejak awal lagi untuk menyusun gerak langkah, cuma tiada siapa tahu, Apakah platform yang akan digunakan?

Tergamakkah Anwar memasuki Umno jika Abdullah bercadang melantiknya sebagai pengganti. Malah mungkin perang besar dalam Umno akan berlaku khususnya dari konco-konco Najib, Muhyiddin dan beberapa lagi yang kurang senang dengan Anwar.

Semua ini harus ada pertimbangan dan Anwar juga harus memikirkan kesan sokongan rakyat dan juga kepercayaan rakyat terhadap dirinya yang begitu ghairah untuk merebut jawatan nombor satu itu.

Bagaimana dengan PAS dan DAP?

Seandainya Anwar benar-benar ingin jadikan Umno sebagai kuda tunggangannya dalam merealisasikan hasratnya bagi menjadi Perdana Menteri maka akan ada dua kemungkinan berlaku.

Pertama, PAS dan DAP akan turut serta menyertai BN dan membantu mengukuhkan kedudukan Anwar.

Kedua, PAS yang sudah berpengalaman bersama BN pastinya akan memikirkan perkara ini dengan serius. Langkah untuk menolak tawaran menyertai BN mungkin ada dan begitu tinggi diakar umbi. Maka peluang itu masih lagi tipis dan PAS mungkin akan bertindak keluar dari PAKATAN.

DAP pula tidak pernah mengadakan hubungan langsung dengan BN sebagai ahli komponen dan suara DAP ternyata lebih kuat menentang Umno.

PAS dan DAP akan kekal ditempat asalnya kerana ruang untuk bersama Umno di dalam BN adalah begitu samar dan tidak ketentuan. PAS dan DAP juga sudah biasa jadi pembangkang dan kini belajar mengukuhkan kuasa dan pengalaman mentadbir di negeri-negeri PAKATAN.

Maka, langkah terdesak Anwar memasuki Umno berdasarkan teori tertentu pastinya tidak akan mengoyahkan semangat PAS dan DAP kerana yang akan bergoncang adalah KeADILan itu sendiri. Golongan Melayu pro-Islamis mungkin akan menyertai PAS dan yang Liberal akan sertai DAP atau tubuh parti lain.

Semuanya bergantung kepada keputusan Anwar. Hanya beliau dan Allah jualah yang tahu ke mana hala tuju politik beliau. Dari Umno ia datang kepada Umno di kembali…mungkinkah itu terjadi atau sekadar polemik mereka yang mengiktiraf diri sendiri sebagai pakar dan pemerhati Politik.

"

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home