Friday, May 9, 2008

KEJATUHAN SAHAM BSKL: MESEJ KEPADA PM


Kenyataan Media (5 Mei 2008)

Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius kejatuhan saham di
Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) semenjak awal tahun ini sehingga
mencecah kemerosotan melebihi 200 mata. Pada Januari 2008, BSKL mencatat
1,445 mata, tetapi telah merosot kepada 1,227 mata pada April 2008. Para
penganalisis saham mengatakan nilai bagi satu mata di BSKL mewakili kira-kira
RM770 juta. Ini bermakna, dalam tempoh dua bulan, negara telah kerugian
besar sekitar RM140 bilion.
DPP Pusat melihat faktor utama kejatuhan saham di BSKL ini adalah berpunca
daripada ketidakyakinan para pelabur ekoran kedudukan kerajaan yang tidak
stabil selepas pilihan raya umum ke-12. Faktor kegagalan BN mempertahankan
majoriti dua pertiga adalah satu isu, tetapi isu yang lebih besar ialah
ketidakyakinan ahli-ahli Umno terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi. Semenjak 9 Mac 2008, ahli-ahli Umno di pelbagai
peringkat mengkritik secara terbuka kepemimpinan beliau, dan sebahagian
besar daripadanya mendesak supaya Presiden Umno berundur daripada
jawatan Perdana Menteri.
Pergolakan ini kemudian memberi kesan yang lebih teruk kepada keyakinan
pelabur apabila dasar-dasar kerajaan BN yang tidak demokratik dikenakan ke
atas negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Dalam masa yang sama
rakyat dan pelabur sudah berasa jelek dengan kegagalan kerajaan BN
mewujudkan integriti dan kebebasan di kalangan rakyat. Peningkatan indeks
rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sudah menyamai peningkatan
inflasi yang sedang melanda hari ini. Bertolak daripada beberapa faktor ini,
indeks BSKL telah menerima kesan yang parah dan mulai mengalami kejatuhan
yang besar dalam tempoh yang singkat.
DPP Pusat melahirkan kebimbangan sekiranya kerajaan BN cuba menutup
kejatuhan saham ini dengan menggunakan dana-dana awam yang dipaksa
untuk menyuntik semula dana bagi memulihkan BSKL. Ketika negara mengalami
kegawatan ekonomi pada 1998 dahulu, berbilion wang rakyat telah
disalahgunakan untuk membailout syarikat-syarikat kroni bagi mengelakkan
mereka bankrup. Dan tidak mustahil pada hari ini jika dana-dana awam seperti
KWSP, LUTH, KWSG, PNB dan sebagainya akan dipaksa untuk ‘menjaga imej’
BN dengan menyuntik berbilion wang ke BSKL.
2
DPP Pusat tidak nampak satu cara yang paling efektif untuk memulihkan BSKL
melainkan kerajaan BN mengundurkan diri dan menyerahkan kuasa
pemerintahan kepada Pakatan Rakyat. Pak Lah mesti meletakkan jawatan
dengan segera untuk membolehkan sebuah kerajaan yang bersih, telus dan
berintegriti ditubuhkan bagi membina semula keyakinan rakyat dan pelabur.
Dengan keyakinan ini, DPP Pusat percaya indeks BSKL dapat dipertingkatkan
semula dan kerugian tersebut dapat diatasi dengan segera.

SALAHUDDIN HAJI AYUB
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home